| Sejarah | ||||
|
Perkhidmatan Bomba di Malaysia bermula pada tahun 1883 dengan penubuhan Bomba Sukarela Negeri Selangor yang diketuai oleh H.F Bellamy bersama 15 anggota. Pasukan ini diletakkan dibawah Lembaga Kebersihan telah dijadikan sebagai Pasukan Bomba dan Penyelamat Tetap pada tahun 1895. Perkhidmatan terus berkembang di setiap negeri dan diletakkan di bawah Majlis Perbandaran atau Lembaga Luara Bandar. Pada Tahun 1946, pasukan 'Malayan Union Fire Service' (MUS) telah ditubuhkan, beribu pejabat di Kuala Lumpur. Fight Lt. W. J. Gerumandi telah dilantik sebagai Pengarah MUS.Melalui Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu, Perkhidmatan Bomba diserahkan kembali kepada Kerajaan-kerajaan Negeri di bawah Pendaftaran Lembaga Bandaran dan Lembaga Luar Bandar mengikut negeri masing-masing. Untuk menyelaraskan perkhidmatan ini, maka sebuah Jemaah Lembaga Perkhidmatan Bomba ditubuhkan pada tahun 1952, di bawah Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan. Perkhidmatan Bomba di negeri-negeri disatukan sebagai sebuah jabatan di peringkat Persekutuan pada 1hb Januari 1976. Penyatuan ini meletakkan perkhidmatan Bomba Malaysia di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Ini diikuti oleh perkhidmatan Bomba Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Melaka pada 1hb Januari 1977. Pada 15hb Mei 1981, perkhidmatan Sabah dan Sarawak telah disatukan. Pada 8hb Januari 1997, Jemaah Menteri telah bersetuju dengan perubahan nama Jabatan Perkhidmatan Bomba Malaysia kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di mana pada 21hb Februari 1997, YAB Perdana Menteri Malaysia dengan rasminya telah mengumumkan dan melancarkan pertukaran nama, logo, dan bendera Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Genting Highlands. |







































